Media

MUI sasar kembali untung dalam tiga tahun

DEC 14, 2018, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Malayan United Industries Bhd (MUI) menyasarkan untuk kembali mencatat untung dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi transformasi model perniagaannya dengan menumpukan perniagaan berasaskan gaya hidup.

Pengerusi Eksekutifnya yang baharu, Andrew Khoo Boo Yeow, berkata melangkah ke hadapan kumpulan akan menumpukan tiga fokus utama iaitu penstrukturan semula modal dan korporat, rasionalisasi aset kumpulan dan tranformasi model perniagaan untuk kekal relevan.

Beliau berkata, kumpulan sudah melaksanakan penstrukturan semula modal dan korporat antara 12 bulan hingga 18 bulan lalu.

“Ini bagi memastikan operasi kumpulan lebih efisien, lebih fokus dan cekap. Ia termasuk mengkaji semula beberapa syarikat tersenarai yang kami mahu dan berapa banyak syarikat yang tidak aktif untuk digugurkan serta semua persoalan lain yang perlu ditangani,” katanya pada sidang media sempena pelantikannya hari ini.

Boo Yeow menggantikan bapanya, Tan Sri Khoo Kay Peng yang mengumumkan persaraannya sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan, selepas menerajui konglomerat itu selama empat dekad.

Konglomerat itu mencatatkan kerugian sejak tahun kewangan 2014 hingga 2017.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, kerugian bersih MUI berkurang kepada RM60.55 juta berbanding RM130.37 juta pada tahun sebelumnya manakala pendapatan susut kepada RM406.37 juta daripada RM414.06 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM2.75 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2018 berbanding kerugian bersih sebanyak RM11.42 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai pelan transformasinya, Boo Yeow berkata, beliau tidak mahu melaksanakan sebarang perniagaan yang pasif atau tidak bermakna.

“Saya tidak mahu lakukan perniagaan yang tiada makna. Apa yang perlu kini adalah mengubah perniagaan teras kami kepada perniagaan berasaskan gaya hidup. Kami dalam proses mentransformasikan jenama dan perniagaan kami yang lebih dekat dengan keperluan pelanggan.

“Kami akan terus lakukannya bersama dengan jenama sedia ada kami serta membawa masuk jenama baru dalam pasaran,” katanya.

Boo Yeow berkata, ia termasuk rancangan memperkenalkan jenama butik makanan dan bakeri, Baker&Cook, di Metrojaya serta mengembangkan produk di bawah jenama Laura Ashley.

Syarikat itu kini pemegang saham tunggal terbesar Laura Ashley Ltd yang disenaraikan di United Kingdom.

MUI mempunyai dua anak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, iaitu MUI Properties Bhd dan Pan Malaysia Holdings Bhd.

Kini, MUI melebarkan sayap perniagaannya dalam bidang peruncitan, hartanah, hotel, pembuatan coklat dan perkhidmatan kewangan.

Ia mengendalikan beberapa jenama terkenal seperti Laura Ashley dan Corus Hotels di UK, serta Metrojaya dan Living Quarters di Malaysia. Beberapa jenama fesyen yang ditubuhkan termasuk East India Company, Somerset Bay, Zona dan Cape Cod.

Jenama coklat popularnya termasuk Renyah, Tango, Kandos dan Tudor Gold.

Click to read more...